Wednesday, April 27, 2011

Pertandingan Melukis Poster 1Malaysia Bebas Tibi

PERTANDINGAN MELUKIS POSTER KESEDARAN 1MALAYSIA BEBAS TIBI

Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan (LAPTB) akan menganjurkan Pertandingan Melukis Poster Kesedaran Bahaya Tibi bertajuk “1Malaysia Bebas Tibi” bermula 1 Mei hingga 30 Mei 2011. Sehubungan dengan itu, pihak LAPTB menjemput pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Syarat-syarat pertandingan dijelaskan seperti di bawah.
_____________________________________________________________________________________

Syarat-syarat penyertaan pertandingan melukis poster kesedaran bahaya penyakit Tibi bertajuk “1Malaysia Bebas Tibi” Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan adalah seperti berikut:
1. Pertandingan melukis poster kesedaran bahaya penyakit Tibi bertajuk “1Malaysia Bebas Tibi” Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan adalah terbuka kepada semua pelajar berdaftar sekolah rendah dan menengah di W. P. Labuan.
2. Lukisan poster adalah bebas tetapi mesti memberi fokus kepada kehidupan sihat tanpa tibi.
3. Poster hendaklah dilukis di atas kertas putih bersaiz 270mm x 370mm. Pensel warna, krayon, warna air dan pen marker dibenarkan.
4. Lukisan hendaklah asli dan tidak menggunakan poster mana-mana organisasi, jabatan atau kementerian.
5. Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan mempunyai hak untuk menggugurkan penyertaan atau menarik balik hadiah yang telah dimenangi sekiranya didapati lukisan yang dihantar adalah tidak asli dan ditiru. Pihak penganjur boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kesalahan tersebut dan tidak akan bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami di atas dakwaan karya tiruan.
6. Lukisan hendaklah berkaitan dengan tajuk dan menonjolkan usaha mempromosi kesedaran bahaya penyakit Tibi.
7. Hantarkan penyertaan kepada:
Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan
Peti Surat 82100
87030 W. P. Labuan (Tel: 087-412987)
Sebelum atau pada 30 Mei 2011
8. Peserta hendaklah menulis nama penuh (seperti dalam kad pengenalan), nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon, kelas dan nama sekolah di bahagian belakang kertas lukisan. Lukisan hendaklah ditanda tangani oleh pentadbir sekolah dan dicop sebagai pengesahan.
9. Keputusan adalah muktamad dan mengikut kategori sekolah rendah dan menengah. Pemenang akan dihubungi melalui telefon.
10. Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan berhak sepenuhnya untuk menggunakan lukisan peserta untuk mana-mana aktiviti dan program anjurannya.
11. Hadiah pertama – Sijil penyertaan + trofi
Hadiah kedua –Sijil penyertaan + trofi
Hadiah ketiga – Sijil penyertaan + trofi
Saguhati dan Anugerah Khas Hakim – Sijil penyertaan

Sunday, April 24, 2011

Selamat Datang Sahabat LAPTB 2011

Selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana menjadi Sahabat LATPB 2011-2012. Anda telah menunjukkan bahawa anda menyokong usaha berterusan membanteras penyakit Tibi di Wilayah Persekutuan Labuan.

Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan (LAPTB) telah ditubuhkan secara rasminya pada 13 Jun 2007 setelah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan dengan no. 1227-07-SBH. Penasihat LAPTB ialah Datuk K. J. Joseph yang juga merupakan Presiden Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Sabah (SABATA). LAPTB berada di bawah gabungan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB) yang berpusat di Kuala Lumpur., di bawah pimpinan Dato’ Seri Yeop Jr. b. Hj. Yeop Adlan.

LAPTB bergerak sebagai sebuah persatuan sukarela berteraskan kebajikan dan promosi kesihatan. Ia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat mempromosi pencegahan, kawalan, dan rawatan Tibi, dan jika boleh, membasmi Tibi secara keseluruhan di negeri ini. Antara aktiviti tahunan LAPTB ialah pertandingan melukis poster, kuiz kesedaran, pameran kesedaran Tibi, dan lawatan ke Klinik Tibi Labuan.

Menurut Utusan Online bertarikh 14 Mac 2010, Dr. Hairulfaizi Haron (UKM) melaporkan bahawa terdapat 17,506 kes baru didaftarkan pada 2008. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing. Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia. LAPTB telah membantu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM8650 kepada 57 pesakit pada tahun 2009 di Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Skim Elaun Rawatan (Treatment Allowance Scheme). Pada tahun 2010 pula, sebanyak RM8750 telah dibelanjakan untuk 54 pesakit Tibi.

Sebagai Sahabat LAPTB, saya yakin anda telah menerima risalah kesedaran Tibi. Risalah yang telah diedarkan memberi maklumat tentang definisi Tibi, gejala Tibi, cara jangkitan, cara mengesan, cara mencegah, dan penjelasan tentang rawatan DOTS. Anda boleh memainkan peranan anda sebagai sahabat kami untuk menyebar maklumat tentang penyakit berjangkit ini. Sijil Persahabatan pula adalah simbolik kepada kerjasama dan sokongan anda terhadap usaha mencegah Tibi.

Untuk makluman para Sahabat LAPTB yang baru mendaftar, program Sahabat LAPTB ini bukanlah satu kempen keahlian LAPTB. Anda tidak terikat kepada perlembagaan LAPTB mahupun secara automatik menjadi ahli berdaftar LAPTB. Program Sahabat LAPTB hanyalah pengiktirafan secara tidak formal kepada anda kerana menyokong promosi dan pembasmian Tibi oleh LAPTB. Ini adalah satu cara LAPTB menghargai sokongan dan kerjasama tuan-tuan dan puan-puan. Secara tidak langsung juga, Sahabat LAPTB boleh membantu dalam menyebar maklumat tentang penyakit Tibi.

LAPTB berharap dengan pengesanan awal dan cara pencegahan yang efektif, penyakit Tibi di Labuan boleh dibanteras. Oleh yang demikian, para sahabat LAPTB digalakkan untuk memberi kerjasama dalam usaha ke arah eliminasi penyakit Tibi di Wilayah Persekutuan Labuan khususnya. Sila kunjungi kami di facebook (Laptb Labuan) melalui laptb2008@yahoo.com atau blog http://laptb.blogspot.com untuk promosi dan maklumat terkini.


Presiden
Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Labuan.